Monday, January 15, 2024

Recap 2023

15 dari 365. 


Kembali mencoret di kanvas ini, setelah hampir 4 tahun berlalu menjanjikan sedemikian.


Tiada perkara yang ingin dipena, cumanya sekadar merefleksi tahun 2023 yang dawamnya sukar, namun penuh bahagia dan hikmah. Sedarinya, bukan sekadar saya sahaja merasakan begitu, malah teman-teman saya yang senantiasa dalam jagaan Tuhan juga dipalit rasa yang sama. Faktor usia mungkin. Minda kini bisa melihat dan memahami santiran makna ujian dari sudut berbeza. 


Difikirkan, tahun 2023 itu di mana saya paling keliru dengan kehidupan berbanding yang sebelumnya. Namun saya juga merasakan paling jelas dengan kehidupan, berbanding beberapa purnama sebelumnya. 


Soalnya, kehidupan itu, jika ingin menguji, datangnya tidak kita pinta atau bersedia. Dipaksa untuk melepas pelbagai sosok-sosok istimewa dan impian pergi. Masyghul hati, walau seketika dan sedikit cuma, tetap ingin saya rayakan dan simpan dalam kotak kenangan. Hikmahnya juga, saya akhirnya memahami konsep Innalillah. Gimana, semua pinjaman tuhan itu, bisa kita fikirkan ianya kekal? Itu pastinya tidak pernah bisa akan terjadi. 


Di penghujung tahun yang sama, saya juga sedari, perkara yang saya sering tuturkan mustahil berlaku satu ketika dahulu, yang saya fikirkan tidaklah terbaik untik saya, mahupun perkara yang saya jengkel, Ya Malik itu tidak lagi bersetuju. Kerna kini, pelbagai asbab secara tiba-tiba muncul untuk membenarkan yang sebaliknya terjadi. Sehingga saya gagal untuk merencana masa hadapan. Ya Muqallibal Qulub. 


Di tahun yang baru ini. Saya tidak mengimpikan banyak benda. tetapi berharap lindungan Allah itu kekal dan berpanjangan. Sebagaimana Ya Hafidz itu melindungi Yusuf. Berharap setiap perkara-perkara yang saya pinta, diberikan kepada saya saat Sang Kekasih benar-benar cinta kepada saya. 


2024. Moga sahaja semua dipemudahkan dengan segala keputusan Tuhan. 






Thursday, March 19, 2020

Kembali menulis.

Kembali semula di laman sesawang ini untuk menulis setelah beberapa tahun tidak menulis.


Mungkin banyak benda yang berlaku di dalam kehidupan. Sehingga akal dan hati tidak lagi mampu menanggung kesemuanya. Jadinya perlu mempunyai pelabuhan untuk barang luahan dan limpahan rasa, walaupun hanya sekadar sesaat dan sebesar zarah. Bukan tiada teman di sisi untuk bersandar, namun lidah kelu untuk menutur bicara

Namun untuk menulis itu juga bukannya mudah. Kadang kala, terlalu banyak yang ingin diluahkan, namun tiada perkataan yang bisa ditemukan.

Jadinya, setelah berfikir dengan sedalamnya, maka saya membuat keputusan untuk menjadikan laman sesawang ini sebagai jurnal kehidupan saya. Tentang apa yang saya lalui, dari sudut kaca mata saya.

Semoga sahaja segala pena yang ditulis di sini akan menjadi bekal kekuatan saya di masa hadapan, saat menghadapi kesukaran.Untuk mengenang, segala pahit manis kehidupan.